apokonoeekau

16 Februari 2010

Menghayati semangat tulen konsep PR...

Li Fook Gao


Selepas gagal dalam misi mereka untuk memecah-belahkan Kelantan, UMNO kini bertukar strategi menyerang negeri Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP. Gimik terbaru mereka ialah menuduh kerajaan Pulau Pinang memansuhkan perarakan Maulidur Rasul dengan hanya merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh Utusan Meloya. Berdasarkan berita yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri dan pakar tidur negara, Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi yang tetiba bangun daripada tidur untuk turut sama-sama membidas kononnya tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membatalkan perarakan Maulidur Rasul atas nama agama dan menjaga keharmonian kaum.

Memandangkan isu agama merupakan isu yang sensitif sebagaimana isu nama kalimah ALLAH, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengambil peluang untuk menajamkan serangan terhadap kerajaan pimpinan Guan Eng dengan memaparkan salah satu surat yang diedarkan, membawa kepala surat kerajan negeri, menyebut kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan perarakan tersebut.

Akan tetapi, perkara itu dijawab dengan rapi oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim yang berkata surat-surat berkenaan hanyalah opsyen untuk mengubah format sambutan selama tiga mulai 25 Feb ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak pernah berhasrat untuk membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini sambil menegaskan, surat yang disebarkan menerusi internet hanya opsyen yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan umat Islam, sebagai satu pembohongan; Lim Guan Eng turut menjemput Tan Sri Muhyddin Yassin dan Tun Abdullah untuk turut serta mengambil bahagian dalam sambutan tiga hari Maulidur Rasul akhir bulan ini. Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan dalam menasihatkan Timbalan Perdana Menteri supaya tidak mempercayai sepenuhnya maklumat-maklumat Utusan Malaysia - “Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu. Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan. Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu pembohongan.”

Dalam serangan bertubi-tubi UMNO dalam isu Maulidur Rasul terhadap kerajaan Pulau Pinang, PAS sebagai rakan karib DAP di dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang strategi dalam membela DAP dan membongkar kepalsuan niat UMNO dalam menjaga agama Islam. PAS menyedari tindakan UMNO menyerang DAP dalam soal agama Islam hanyalah bertujuan bermain politik semata-mata untuk meningkatkan tahap kebencian orang Melayu terhadap DAP yang sering dilabelkan mereka sebagai parti komunis Cina.

Pembelaan pertama PAS datang daripada Naib Presiden PAS, Dato Mahfuz Omar yang dipetik berkata, “Bagi saya berarak maulud tak salah tak belarak tidak lah berdosa. Untuk apa kalau berarak membawa pada dosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat keatas Nabi kemudian tolak apa yang Nabi suruh.” Beliau turut berkata pihaknya menganggap serangan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng seolah-olah “dijadikan modal politik murahan” untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Mahfuz juga mempertahankan Ketua Menteri dengan menegaskan bahawa syor awal dibuat oleh jawatankuasa induk, perarakan akan dibatalkan, yang pastinya bukan dipengerusikan oleh Lim. “Jadi tidak wajar Lim dituduh sebagai anti-Islam... lagi pun keputusan awal sebenarnya hanya merupakan syor, bukan keputusan muktamad,” katanya. Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia supaya menjauhkan dari bahaya Umno dan Barisan Nasional demi keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara.

Sokongan kedua PAS datangnya dari Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman turut serta membela Guan Eng dalam isu Maulidur Rasul dengan menyatakan bahawa UMNO cetek pengetahuan agamanya apabila hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan sejarah Maulidur Rasul itu sendiri. Beliau menambah bahawa Nabi sendiri tidak pernah menuntut umatnya membuat perarakan. “Tidak tahulah saya takut-takut Umno sengaja hendak mempolitikkan perkara itu setelah mendapati Lim cuba membatalkan upacara yang dianggap telah menjadi amalan tradisi di kalangan sesetengah masyarakat Islam,” katanya.

Demi membongkar kepalsuan UMNO dalam soal menjaga nama Islam, kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Aziz, Kelantan yang juga dikenali sebagai serambi Mekah, mengisytiharkan perarakan Maulidur Rasul tahun ini tidak ada tahun ini, sebaliknya kerajaan negeri adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV dan disusuli dengan sembahyang khas pada 25 Feb. “Kami tidak menganjurkan perarakan sebagaimana amalan sebelum ini. Tetapi sudah tentu perarakan diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri, yang dianjurkan oleh orang ramai untuk melahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Dalam kenyataannya, Timbalan Menteri Besar Kelantan menambah, “Perarakan itu bukan satu kemestian. Dan, ia juga tidak diamalkan ketika zaman Nabi. Umat Islam boleh memilih untuk mengadakan ataupun tidak. Tetapi apa yang penting ialah mereka berpegang teguh pada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad.”

Selain dapat mematahkan serangan bertubi-tubi UMNO terhadap kerajaan Pulau Pinang, tindakan kerajaan Kelantan ini secara terang-terangan ingin membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO langsung tiada niat untuk membela agama Islam – segala-gala rintihan dan polemik atas isu perarakan Maulidur Rasul hanyalah bermotifkan politik semata-mata untuk mengkucar-kacirkan negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Semangat kekitaan dan persahabatan tulen Pakatan Rakyat yang dipamerkan PAS dalam hal membela DAP daripada serangan politik murahan UMNO dalam isu perarakan Maulidur Rasul amatlah dikagumi and sepatutnya dihayati bersama oleh semua para penyandang jawatan politik Pakatan Rakyat.

Inilah semangat tulen konsep Pakatan Rakyat yang harus ada pada setiap parti komponen Pakatan dalam misinya mengembalikan konsep ketuanan rakyat kepada Malaysia dengan menumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 13 nanti. Jika PAS, DAP dan PKR dapat menghayati dan mempraktikkan semangat tulen konsep Pakatan Rakyat ini sepanjang waktu, yakinlah bahawa inilah formula yang akan membawa Pakatan Rakyat melangkah jauh ke dalam kubu kuat Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan datang.

Ingat, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

0 ulasan:

Halaman

ANTARA AKTIVIS PAS CAW. CHABAU

ANTARA AKTIVIS PAS CAW. CHABAU

Cari Blog Ini